| Airasia sedia selenggara kapal terbangnya di Subang
UTUSAN ONLINE - 5 Januari 2005,
24 Zulkaedah 1425 KUALA LUMPUR, 4 Jan. - AirAsia Bhd. bersedia mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan kapal terbangnya di pusat berkos rendah milik AIROD yang ada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah sekarang.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes berkata, syarikat itu menyambut baik sebarang cadangan oleh SME Aviation Sdn. Bhd. yang melancarkan pusat penyelenggaraan, membaiki dan membaik pulih (MRO) pesawat komersial tambang murah bebas, semalam.
``Kami bersikap terbuka terhadap sebarang cadangan dan kami pasti akan menyokong mana-mana syarikat Malaysia,'' katanya kepada Bernama.
Pada masa ini, AirAsia bergantung kepada Singapura untuk menyelenggara, membaiki dan membaik pulih kapal terbangnya yang ada sekarang.
Fernandes berkata, syarikat itu tidak mempunyai pilihan kecuali menghantar kapal terbangnya ke republik itu, tetapi jika syarikat-syarikat tempatan menawarkan perkhidmatan demikian, AirAsia pasti akan mempertimbangkan untuk beralih ke sini.
Selepas pelancaran semalam, Pengerusi SME Aviation, Datuk Seri Yunus Tasi memberitahu pemberita, mereka akan mempelawa syarikat penerbangan tambang murah, termasuk AirAsia untuk menyenggara kapal terbang mereka di Subang.
Bagaimanapun, kata Fernandes, syarikat itu masih belum menerima sebarang cadangan daripada SME Aviation.
Pusat MRO kos rendah yang diasaskan kepada model operasi syarikat penerbangan tambang murah itu, dijangka menawarkan kadar-kadar yang jauh lebih rendah berbanding kadar pasaran sekarang iaitu AS$75 (RM285) hingga AS$80 (RM304) bagi setiap jam masa kerja bagi pusat MRO di Eropah dan kira-kira AS$35 (RM133) bagi setiap jam masa kerja di rantau ini.
SME Aviation telahpun menerima pelanggan pertamanya, Aventura Aviation dari Amerika yang mempunyai kira-kira 50 buah pesawat.
SME Aviation telah memeterai perjanjian sokongan dua hala dengan AIROD Sdn. Bhd., dan melalui perjanjian ini, AIROD akan membenarkan hangarnya digunakan bagi MRO itu. - Bernama
|